BANDAR RAYA OKLAHOMA - Berjuta-juta cengkerik membanjiri beberapa kawasan di negeri Oklahoma dengan mengeluarkan bunyi bising dan bau busuk, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Menurut penduduk tempatan, serangga itu berkeliaran di setiap ruang termasuk jalan raya, laluan pejalan kaki dan dinding bangunan.
Tindakan membunuhnya juga dilaporkan tidak berkesan. Ini kerana bangkai cengkerik akan menarik kehadiran lebih banyak serangga itu untuk memakannya.
Penduduk juga tidak dapat mengelak daripada memijak serangga berbau busuk itu ketika mereka keluar ke bandar.
Dalam pada itu, beberapa pakar berkata, musim hujan mungkin menjadi faktor penyebab ledakan dalam bilangan serangga tersebut.
"Bilangan cengkerik meningkat dengan banyak selepas cuaca kering berakhir yang diikuti hujan lebat pada bulan Julai dan Ogos," kata Pengarah Makmal Penyakit Tumbuhan dan Diagnostik Serangga Universiti Oklahoma, Rick Grantham.
"Rekahan tanah yang meluas juga boleh menjadi faktor penting," tambahnya.
Serangga itu bersarang di dalam tanah.
Grantham turut mencadangkan beberapa langkah yang boleh mengurangkan jumlah cengkerik seperti membuang timbunan batu bata, kayu atau serpihan lain di sekitar rumah. - AGENSI
No comments:
Post a Comment