Anak saudara mangsa, Wan Nazriey Wan Mokhtar berkata, pada mulanya dia bersama penduduk dan ahli keluarga lain menaiki bot untuk mencari bapa saudaranya itu di kawasan yang dikatakan ada pokok limau namun orang kampung memaklumkan penemuan mayat yang tersepit di pokok nipah berhampiran Kampung Baru Pasir Penambang.
“Kami bergegas ke lokasi penemuan mayat bapa saudara yang dianggarkan sejauh tujuh kilometer dari tempat kami dan terus membantu menaikkan mayat ke kawasan lapang sebelum menunggu anggota polis untuk membawa mayat ke Hospital Tanjong Karang," katanya.
Menurutnya, perubahan sikap bapa saudaranya yang suka bergurau dan menyakatnya ketika berkumpul di kampung agak berbeza berbanding sebelumnya malah boleh disifatkan terlalu ramah.
“Sebelum ini memang arwah suka bergurau namun kali ini gurauannya sedikit berbeza apabila saya sedang berehat, dia datang mengurut badan sebelum mengajak tidur bersama memandangkan saya bakal mengakhiri zaman bujang pada November nanti.
“Ketika itu saya hanya ketawa sahaja namun apabila fikir balik, mungkin ini gurauannya yang terakhir memandangkan hubungan kami agak rapat,” katanya yang turut membantu anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Selangor menaikkan mayat mangsa di Jeti Bagan Sungai Yu, semalam.
Perubahan sikap jadi petanda
Kakak mangsa, Fauziah Abd Gani berkata, kebanyakan adik beradiknya menyedari perubahan sikap Jamaludin yang lebih suka memencilkan diri dan tidak mahu berborak ketika berkumpul di kampung di Air Balui, Pontian, Johor bahkan menyatakan buah tangan iaitu ketam yang dibawa untuk ibunya adalah yang terakhir.
“Saya masih ingat arwah ada cakap, ketam yang dibawa adalah yang terakhir kerana selepas ini susah nak dapat. Saya ketika itu tidak membalas kata-katanya kerana memikirkan mungkin susah nak cari ketam jika bukan musimnya.
“Namun saya tidak sangka jadi begini, bila ingat balik perubahan sikap adik ketika raya tempoh hari, memang berbeza sehingga seorang adik terasa hati dengan sikapnya tetapi rupa-rupanya petanda arwah akan pergi meninggalkan kami,” katanya.
Malah menurutnya, mimpi melihat arwah bermain dengan budak kecil yang dialami ibu dan dua beradik perempuan selepas kejadian kehilangan Jamaludin yang hampir 72 jam itu turut menguatkan lagi firasatnya namun dia hanya berserah kepada ketentuan ALLAH SWT.
Tidak mahu bedah siasat
Sementara itu, adik mangsa, Ismail Abd Gani menjelaskan, pihaknya jika boleh tidak mahu bedah siasat dilakukan kerana memakan masa sedangkan ahli keluarga lain mahu mempercepatkan urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Yu selepas Asar nanti.
“Kalau boleh, bedah siasat tidak perlu dijalankan kerana kami reda ketentuan ALLAH dan mahu jenazah disempurnakan segera.
“Saya mewakili keluarga berterima kasih kepada penduduk Taman Desa Mawar yang membantu menjalankan tahlil di Surau At Taqwa malam ini dan tidak lupa kepada rakan nelayan yang membantu mencari mangsa sejak dilaporkan hilang Khamis lalu.
“Kerjasama anggota polis, JPAM Kuala Selangor dan bomba diucapkan terima kasih dan hanya ALLAH sahaja dapat membalas budi mereka,” katanya.
Kali terakhir lihat arwah cari ketam
Seorang penduduk, K Samy sangat terkejut apabila dimaklumkan arwah sudah meninggal dunia sedangkan kali terakhir dia melihat Jamaludin adalah pada jam 3.15 petang pada Khamis lalu di kawasan hutan paya bakau berhampiran Jeti Sungai Yu.
“Petang itu saya ada melihat arwah turun ke dalam hutan paya bakau dan saya juga turut turun mencari ketam tetapi saya segera pulang melihat cuaca agak gelap manakala air mulai pasang.
“Saya menjerit ke arah Jamaludin untuk memaklumkan saya mahu pulang kerana hari mahu hujan, namun arwah diam sahaja dan saya lihat arwah sehelai sepinggang menuju ke kawasan hutan namun ketika itu saya tidak fikir apa-apa dan terus pulang.
“Saya terkejut dimaklumkan Jamaludin sudah tiada dan segera datang ke Bilik Mayat Hospital Tanjong Karang untuk membantu,” katanya.
Seorang nelayan, Salim Hamzah yang menjadi individu pertama menemui mangsa berkata, dia bersama rakan nelayan lain dari Jeti Kampung Tanjong Keramat membantu mencari mayat mangsa.
“Saya bersama kawan meronda kawasan di tepi celah-celah hutan paya bakau itu namun tidak menemui apa-apa.
“Tetapi ketika arah balik, saya terkejut melihat ada mayat di kawasan pokok nipah itu sebelum menghubungi polis. Selang 10 minit kemudian saya lihat bot JPAM Kuala Selangor dan bomba datang untuk mengambil mayat itu sebelum dibawa ke jeti berhampiran,” katanya.
Operasi dihentikan
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Selangor Utara, Mohd Zulhilmi Mohd Ridzuan berkata, pihaknya menjalankan operasi mencari seperti biasa pada jam 9 pagi dengan menggunakan pasukan anjing pengesan, K9 di lokasi yang dikenal pasti.
“Bagaimanapun, pihak JPAM Kuala Selangor dan penduduk kampung memaklumkan mayat mangsa ditemui pada jam 11.55 pagi pada kedudukan kira-kira empat kilometer dari kawasan muara sungai iaitu lokasi terakhir tapak kaki mangsa ditemui.
“Kami menjalankan prosedur seperti biasa dan penemuan mayat nelayan itu membolehkan operasi dihentikan,” katanya.
No comments:
Post a Comment