Tuesday 18 February 2014

TIPS: Selebriti chef kegemaran di Malaysia


Mereka bukan sahaja terkenal kerana kepakaran mereka dalam bidang masakan, malah turut dikenali apabila wajah mereka sering muncul di kaca televisyen bagi mengendalikan program masakan. Jom kita lihat senarai beberapa selebriti chef yang boleh dikatakan cukup popular di kalangan masyarakat tempatan.

1. Chef Wan
Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan merupakan satu nama yang cukup terkemuka dalam bidang masakan. Lebih 30 tahun menceburi dunia kulinari, Chef Wan bukan saja terkenal di Malaysia, malah juga di peringkat antarabangsa. Bapa kepada dua orang anak ini mendapat ijazah bersekutu dalam Latihan Chef Profesional dan Pengurusan Hotel dari Akademi Kulinari California. Pada tahun 2009, Chef Wan telah diberikan anugerah Selebriti Chef Terbaik Dunia di Anugerah Gourmand Cookbook.

Selain menjadi chef, beliau juga merupakan seorang pelakon, penulis serta pernah mengacara pelbagai program masakan antaranya ‘Ole Ole Chef Wan’, ‘The Kuali Cook Show’ dan beberapa program masakan antarabangsa seperti ‘A Taste of Australia with Chef Wan’ (Australian ABC Network), ‘Flavours of Asia’ (Prime 12, Singapore), ‘Market Kitchen’ (UK Food Network), ‘Flavours of the World’ (TV4, Sweden) dan ‘Chef Wan and Gino’s Specials’ (Orge TV, Norway).

2. Chef Riz

Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri memasuki dunia kulinari kerana ingin mengikuti jejak langkah ayahnya iaitu Chef Wan. Chef Riz pernah mencetuskan kontroversi apabila memalsukan kelayakan serta pengalaman kerjayanya ketika menjadi juri Masterchef Malaysia 2011. Selain menjadi jurucakap produk Prego, bekas suami kepada pelakon Ana Dahlia ini juga mempunyai sebuah restoran, 'Flavours' yang terletak di Bangsar.

3. Chef Florence Tan
 Chef Florence Tan merupakan nama yang cukup tidak asing lagi dalam dunia masakan terutamanya dalam masakan Baba Nyonya. Minat dalam bidang masakan sejak umur enam tahun lagi, Chef Florence Tan pernah menuntut ilmu dengan Dato’ Lim Bian Yam, seorang Masterchef yang sangat disegani di International School Of Home Cooking.

Beberapa tahun kebelakangan ini Chef Florence berkerjasama dengan Chef Ismail menyediakan biskut Raya untuk dijual di Restoran Rebung, Bangsar, Kuala Lumpur. Lebih 45 tahun pengalaman dalam bidang masakan, Chef berasal dari Muar, Johor ini telah mengacarakan banyak program masakan antaranya “Dapur Nyonya”, “Kesuma”, “Kuali”, “Simply Delicious”, “Aroma” dan “Seri Murni”.

4. Chef Kamarul
 Pemilik nama Kamarul Hasni Che Rose ini mula dikenali selepas mengacarakan beberapa program masakan antaranya ‘Sarjan Saji’, ‘Selera’, ‘Baba’s Cubit’dan terbaru ‘Jemput Masuk, Cef!’. Memiliki Sarjana Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti Antarabangsa dari Universiti Griffith, Australia, Chef Kamarul pernah dianugerahkan sebagai Selebriti Chef Terbaik Malaysia di Anugerah Gourmand Cookbook bagi tahun 2010.

5. Chef Nik Michael
Chef Nik Michael Imran mula dikenali selepas menyertai pertandiangan Masterchef Malaysia musim pertama pada tahun 2011. Minat pengacara program ‘Tea Twist’ di Asian Food Channel ini dalam bidang masakan mula berputik sejak umurnya sembilan tahun lagi. Menjadikan bapanya, Datuk Nik Ezar Nik Bolia yang juga seorang chef sebagai inspirasi, Nik mula belajar memasak sejak berusia 15 tahun secara berperingkat-peringkat daripada bapanya.

Selain itu, duta jenama Tupperware Brands bagi produk peralatan memasak, 'TupperChef Inspire' ini juga banyak membuat rujukan daripada buku-buku dan internet. Baru berusia 24 tahun, anak kelahiran Australia ini sudah memiliki perniagaan sendiri apabila membuka restoran Picknik pada tahun 2012.

6. Chef Sherson Lian
Wajahnya kacak, personalitinya di kaca TV menarik, serta dia fasih berbahasa Melayu. Enggan menggelar dirinya ‘chef’, Sherson Lian merupakan anak kelahiran Melaka yang mula dikenali menerusi rancangan memasak ‘5 Rencah 5 Rasa’. Selain itu, Sherson turut mengacarakan rancangan memasak ‘Great Dinners of the World’ dan ‘Reality Bites: Rise above with Style’ untuk saluran Asian Food Channel (AFC).

Akui dia tidak mempunyai pencapaian akademik yang baik, maka Sherson gigih menimba pengalaman dalam bidang kulinari di beberapa hotel dan restoran. Malah anak kacukan Cina dan Inggeris ini pernah menghadiri kursus jangka pendek di New Zealand dalam bidang kulinari.

7. Chef Anis Nabilah
 Minatnya dalam dunia kulinari terbit sejak dari kecil apabila dia sering melihat dan membantu ibunya memasak. Seperti Sherson, Anis juga enggan menggelarkan dirinya ‘chef’ kerana menurut gadis kecil molek ini, sesiapa saja boleh memasak. Berkelulusan diploma daripada Food Institute of Malaysia, Anis tak ambil pusing kata-kata sinis masyarakat yang mengatakan dia hanya menjual rupa. Malah pengacara rancangan memasak ‘Icip Icip’ ini tak pernah putus asa membuktikan kebolehannya memasak.

8. Chef Zubir
 Bagi peminat rancangan ‘Masterchef Malaysia’, pasti kenal salah seorang jurinya yang dikenali sebagai Chef Zubir. Walaupun tak mempunyai rancangan memasak sendiri, namun Chef Zubir mempunyai pengalaman yang banyak dalam bidang kulinari termasuk pernah bekerja sebagai Eksekutif Sous Chef di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur selain bekerja di hotel-hotel terkemuka lain di ibu negara. Memperoleh pendidikan dalam Diploma Latihan Chef di Institut Teknologi MARA pada tahun 1988, Chef Zubir turut memiliki restoran sendiri yang diberi nama Laman Grill.

9. Dato’ Chef Ismail
Nama Chef Ismail tidak asing lagi dalam dunia masakan tanahair. Celotehnya dalam rancangan memasak ‘Ala-Ala Kampung’ sememangnya menghiburkan. Pakar memasak makanan Melayu dan kampung, hasil air tangan Chef Ismail boleh dinikmati di restoran miliknya, Rebung.

10. Chef Zam
Walaupun penampilannya berubah begitu ketara selepas menjalani pembedahan pintasan gastrik pada bulan September 2006, namun Zamzani Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Chef Zam masih orang yang sama yang bijak menghiburkan penonton dalam rancangan memasaknya seperti ‘Serimas… Selera Dunia’.

Mendapat pendidikan dalam bidang Perhotelan dan Restoran dari Universiti Johnson & Wales, Rhode Island, Amerika Syarikat, Chef Zam seronok berkongsi ilmu dengan menjadi pensyarah di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Seni Kulinari, Kolej Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor.
Credit : Yahoo! Malaysia


No comments:

Post a Comment

Designed By Seo Blogger Templates