Monday 26 August 2013

Player Kelantan - Dickson Nwakaeme Dilihat Masih Tumpul


Jentera serangan Kelantan yang diterajui awang import, Dickson Nwakaeme dilihat masih tumpul meskipun The Red Warriors berjaya membenam Terengganu 2-0 dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia 2013 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Situasi tersebut diakui sendiri oleh pengendali Kelantan, Bojan Hodak selepas barisan serangannya gagal menyudahkan deretan peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan tersebut.
Hodak berkata, beliau memandang serius situasi tersebut dan berharap tempoh yang ada menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan malam esok, akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mengatasi masalah berkenaan.
"Harapan saya agar ketumpulan jentera serangan yang dihadapi oleh pasukan Kelantan dapat diperbaiki dengan kadar segera kerana saingan akan menjadi lebih sengit selepas ini.
"Begitupun, masalah ini akan kembali pulih tidak lama lagi dan Nwakaeme semakin mendapat rentak sebenar dengan menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.
"Anda boleh lihat bagaimana dia berusaha keras dan berjaya membentuk gandingan mantap bersama Mohd. Nor Farhan Mohamad, Indra Putra Mahyuddin dan Piya (Mohd. Badhri Radzi)," kata Hodak ketika ditemui pemberita semalam.
Pada aksi kelmarin, Kelantan memperoleh gol pertama pada minit kesepuluh apabila Nwakaeme yang tidak dikawal berjaya melonjak tinggi untuk menanduk bola hasil lambungan Badhri.
Pemain gantian, Zairol Anuar Zailani menambah derita skuad Peteh dengan meledak gol kedua menerusi sepakan percuma dari jarak 25 meter.
Jika tidak kerana ketumpulan jentera serangan, The Red Warriors berkemungkinan besar berpesta gol dalam perlawanan tersebut.
Terengganu juga seharusnya berterima kasih kepada barisan pertahanan dan penjaga gol, Mohd. Sharmiza Yusoff yang banyak memainkan peranan dalam mengekang setiap asakan Kelantan sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
Hodak memberitahu, jaringan awal yang dihasilkan oleh Nwakaeme menjadi pembakar semangat barisan pemainnya dengan menguasai hampir keseluruhan perlawanan menerusi asakan bertali arus ke kubu pasukan lawan.
"Saya gembira dengan keputusan semalam (kelmarin) dan melihat Kelantan telah kembali pada landasan sebenar.
"Jadi saya berharap momentum tersebut dapat diteruskan menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan di Paroi, Selasa ini (malam esok)," katanya.


No comments:

Post a Comment

Designed By Seo Blogger Templates