Monday 26 August 2013

Seorang Lelaki Maut Disambar Buaya


Sydney: Seorang lelaki hilang selepas disambar seekor buaya di depan sekurang-kurangnya 15 orang ketika dia berenang di sebuah sungai di utara Australia, kelmarin.
Polis di Wilayah Utara berkata, lelaki berkenaan berada di Pusat Percutian Sungai Mary bersama-sama sekumpulan kawannya untuk menyambut hari ulang tahun kelahiran rakan mereka apabila dia terjun ke sungai itu untuk berenang.

“Yang lain melihat dia berenang merentasi sungai itu apabila seekor buaya menyambarnya,” kata Sarjan Geoff Bahnert.
Gerakan dilancar untuk mencari lelaki berkenaan tetapi sehingga semalam mangsa tidak berjaya ditemui.

Menurut laporan, lelaki itu tidak mengendahkan amaran supaya tidak berenang di sungai berkenaan kerana terdedah kepada serangan buaya.

“Kami memberitahu setiap pengunjung ke sini supaya jauhi sungai itu. Tetapi ada yang tidak mempedulikannya, termasuk lelaki itu. Kami sudah maklumkan kepada mereka bahawa ia penuh dengan buaya, antara sungai paling banyak haiwan itu di sini. Setiap beberapa kilometer ada buaya besar,” kata seorang petugas pusat itu.
Buaya air masin yang boleh membesar sehingga tujuh meter dan berat melebihi satu tan banyak terdapat di wilayah utara Australia.

Mereka dilindungi pada 1970-an dan sejak itu jumlahnya meningkat.
Disember lalu, seorang budak berusia sembilan tahun disambar haiwan itu ketika berenang di Wilayah Utara, sebulan selepas seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun hilang, juga ketika berenang di di kawasan berkenaan. - AFP


No comments:

Post a Comment

Designed By Seo Blogger Templates