Saturday 7 September 2013

Buruh Mengamok Harga Getah Turun Di Thailand



SEPASUKAN polis pencegah rusuhan cuba menghalang kemaraan pekebun-pekebun getah di sebuah lebuh raya di wilayah Prachuab Khirikhan, selatan Thai kelmarin.


BANGKOK - Kejatuhan harga getah di pasaran dunia mendorong beratus-ratus pekebun getah bertempur dengan pasukan keselamatan dalam tunjuk perasaan di selatan Thailand, kata beberapa pegawai semalam.
Mereka turut membakar kereta sehingga memaksa polis menembak gas pemedih mata dalam kekacauan terbaharu di wilayah bergolak itu.
Lebih 24 anggota polis cedera manakala 11 pemimpin penunjuk perasaan ditangkap dalam demonstrasi di wilayah Prachuap Khiri Khan kelmarin.
Komander polis wilayah, Mejar Jeneral Thanet Soonthornsuk berkata, dua kenderaan media dibakar dalam pertempuran yang tercetus selepas lebih 400 pekebun getah menghalang laluan di sebuah lebuh raya utama menghala ke selatan Thai.
"Seramai 23 anggota polis cedera dengan dua daripada mereka parah akibat dipukul di kepala dengan batu," katanya.
Menurut Thanet, kumpulan penunjuk perasaan itu turut membaling cuka getah ke arahnya.
Thailand merupakan pengeksport getah asli utama di dunia.
Kemarahan pekebun getah itu mencetuskan cabaran baharu kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra selepas dua tahun mentadbir negara.
Sejak beberapa hari lalu, beratus-ratus pekebun getah yang berang bertindak menutup beberapa batang jalan dan landasan kereta api kerana membantah kejatuhan harga getah global yang menjejaskan periuk nasi mereka.
Wilayah berkenaan merupakan kubu kuat pembangkang Thailand, Parti Demokrat.
Kerajaan Yingluck setakat ini menolak tuntutan untuk menstabilkan harga getah pada paras 120 baht (RM12.30) sekilogram iaitu 50 peratus lebih tinggi daripada harga semasa di pasaran dunia.
Beliau sebaliknya berkeras menawarkan bayaran sebanyak 1,260 baht (RM129.25) untuk setiap 0.4 hektar tanah milik pekebun getah bagi membantu menampung kos pengeluaran di samping mewujudkan dana meningkatkan kecekapan dalam pemprosesan getah.
Namun, tawaran tersebut ditolak oleh penunjuk perasaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri, Pracha Promnog berkunjung ke selatan Thai lewat semalam untuk menemui pemimpin-pemimpin penunjuk perasaan itu.

Ketua Polis, Adul Saengsingkaew (kiri) melihat sebuah kereta yang musnah dibakar oleh penunjuk perasaan di wilayah Prachuap Khiri Khan, selatan Thailand semalam.


"Kami akan berdialog dengan mereka di semua peringkat," katanya kepada wartawan tanpa mendedahkan sama ada kerajaan telah bersedia untuk bertolak-ansur atau sebaliknya.
Thailand digugat dengan beberapa episod kekacauan sejak beberapa tahun lalu melibatkan protes jalanan yang diadakan oleh penyokong dan penentang bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.
Thaksin ialah abang kepada Yingluck.
Pada tahun 2010, demonstrasi selama dua bulan di Bangkok oleh kumpulan Baju Merah yang pro-Thaksin disertai 100,000 penunjuk perasaan sebelum gerakan mereka dipatahkan oleh tentera.
Lebih 90 orang dengan kebanyakannya orang awam terbunuh semasa tunjuk perasaan itu. Hampir 1,900 lagi cedera dalam pertumpahan darah politik terburuk di Thailand sejak beberapa dekad lalu. - AFP


No comments:

Post a Comment

Designed By Seo Blogger Templates