Friday 6 September 2013

Jurulatih - 3 Orang Pemain Malaysia Akan Disingkirkan


PEMAIN-PEMAIN Harimau Muda menjalani latihan sebagai persiapan untuk menghadapi kempen Pestabola Merdeka 2013 di Akademi Bola Sepak Negara di Gambang, Kuantan semalam.


KETUA jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee dijangka mengumumkan senarai 22 pemain yang akan menggalas cabaran skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara pada Pestabola Merdeka 2013 hari ini.
Kim Swee berkata, tiga orang daripada 25 pemain yang menjalani latihan akan digugurkan sebelum skuad bimbingannya membawa cabaran negara di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang yang membuka tirainya esok.
"Saya akan berbincang dengan jurulatih lain dan ia memang amat sukar bagi saya untuk memilih pemain yang akan bersaing. Namun ini adalah keperluan bagi kejohanan ini.
"Pemain yang dipilih mesti boleh bermain di dua posisi berlainan dan saya berharap pemain yang tidak dipilih akan menerima dengan hati yang terbuka," katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Bola Sepak Negara di Gambang, Kuantan semalam.
Tambah pengendali itu, keserasian setiap pemain Harimau Muda hampir mencapai seratus peratus dan dengan kombinasi itu ia berupaya membawa pasukan Harimau Muda melangkah lebih jauh pada kejohanan berkenaan.
"Para pemain dilihat hampir serasi walaupun ada di kalangan mereka yang belum pernah bermain dalam satu pasukan.
"Bagaimanapun, saya akan memperbaiki lagi supaya pasukan ini dapat menghadapi saingan Pesta Bola Merdeka ini tanpa sebarang masalah," katanya.
Menurutnya, pada masa ini beliau akan menumpukan perhatian dalam memperkemas jentera pertahanan bagi mengurangkan kesilapan.
"Setakat ini tiada pemain yang mengalami kecederaan serius tetapi beberapa pemain ada mengalami kecederaan sedikit yang tidak akan menjejaskan aksi mereka," katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee menyatakan beliau tidak perlu terlalu memikirkan kekuatan lawan tetapi sebaliknya lebih fokus kepada persiapan skuadnya sendiri dalam usaha meraih kemenangan.
Penyerang muda negara, Syahrul Azwari Ibrahim berkata, beliau dan rakan sepasukan lain kini sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan pembuka tirai menentang Singapura esok.
"Saya dapat rasakan semua rakan sepasukan sudah serasi jadi ia boleh dikatakan satu perkembangan baik.
"Kali ini kejohanan agak sukar tetapi kami semua ingin membuat perubahan yang tepat dengan kesungguhan yang jitu," katanya.
Seorang lagi pemain negara, Mohd. Rozaimi Abdul Rahman mengakui beliau akan berusaha untuk mempamerkan aksi terbaik jika terpilih untuk mewakili negara kali ini.
"Saya mungkin lebih berkeyakinan jika diturunkan pada Pestabola Merdeka ini.
"Bagaimanapun, saya menghadapi saingan sengit daripada pemain-pemain lain yang beraksi dengan cemerlang sepanjang latihan," katanya.


No comments:

Post a Comment

Designed By Seo Blogger Templates