Thursday, 5 September 2013

Zamri Ramli Digantung 2 tahun


TAUFEK menunjukkan buku peraturan selepas mempengerusikan Jawatankuasa Tatatertib FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman penggantungan dua tahun ke atas pemain Kelantan, Zamri Ramli yang gagal dalam ujian doping pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak memberitahu, Zamri didapati positif mengambil bahan terlarang iaitu dadah jenis methamphetamine.
“Pemain itu (Zamri) positif dadah jenis methamphetamine berdasarkan laporan yang dibuat oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) di India.
“Dia mengaku salah atas kesalahan mengambil bahan terlarang oleh FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan WADA.
“Selepas membuat pertimbangan dari aspek latar belakangnya, Jawatankuasa Tatatertib FAM menjatuhkan hukuman penggantungan dua tahun terhadap pemain itu yang mana dia tidak akan dibenarkan menyertai mana-mana aktiviti bola sepak di bawah kelolaan FAM dalam tempoh itu,” kata Taufek kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Taufek memberitahu, Zamri dibenarkan mengemukakan rayuan memandangkan hukuman tersebut adalah minimum.
“Harus diingat, Zamri dan KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) masih boleh mengemukakan rayuan.
“Buat masa ini, hukuman itu ditangguhkan sementara bagi memberikan peluang dan ruang kepada Zamri dan KAFA untuk membuat rayuan.
“Zamri harus mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari sebaik sahaja FAM mengeluarkan surat (pertuduhan),” tambah Taufek.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, Zamri yang enggan mendedahkan identitinya, mengaku tidak bersalah selepas gagal dalam ujian doping tersebut.
Sebaliknya, dia mendakawa hanya mengambil supplemen tambahan tanpa merujuk pegawai perubatan KAFA.
Dalam pada itu, Taufek memaklumkan bahawa Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) didenda RM40,000 atas kesalahan gagal menyediakan kawalan keselamatan ketika Johor Darul Takzim (Johor DT) menentang Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 6 Julai lalu.
Ia gara-gara penyokong skuad Harimau Selatan itu yang didapati bersalah membakar suar dan membuang resit putih pada aksi Liga Super itu.
“Johor Johor DT mengaku salah terhadap pertuduhan tersebut. Mereka didapati gagal menyediakan anggota keselamatan yang mencukupi.
“Pihak FAM sememangnya memandang serius dalam soal keselamatan terutama membabitkan jumlah penonton yang ramai.
“Begitupun, mereka (PBNJ) dibenarkan membuatkan rayuan untuk hukuman tersebut,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Designed By Seo Blogger Templates