Tuesday 25 March 2014

MH370: Apakah Itu Yang Dikatakan Sebagai Kotak Hitam Pesawat?



Jika anda mengikuti perjalanan usaha mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) nombor penerbangan MH370, pastinya anda telah mendengar istilah “black box” atau kotak hitam disebut beberapa kali dalam perbincangan atau berita yang dilaporkan dari wartawan dari pelbagai agensi media.
Namun, tahukah anda apa itu kotak hitam di dalam pesawat dan apa kepentingganya?
Kotak hitam ialah sejenis alat khusus untuk merakamkan perjalanan penerbangan sesebuah pesawat dari aspek sistem teknikal pesawat dan juga perbualan juruterbang di dalam pesawat.
Dalam terma teknikal ia dikenali sebagai ‘Flight Data Recorder (FDR)’ atau juga dikenali sebagai ‘Accident Data Recorder (ADR)’. Sebuah lagi alat merakam perjalanan penerbangan dikenali sebagai ‘Cockpit Voice Recorder (CVR)’.
FDR atau ADR akan merakamkan setiap isyarat elektronik dan teknikal yang dibuat oleh juruterbang secara terperinci dari segi ketinggian, kelajuan dan penggunaan peralatan dalam sesebuah pesawat.
Manakal CVR pula merakamkan perbualan antara juruterbang dan pembantu serta komunikasi juruterbang dengan pengendali menara kawalan trafik udara sepanjang penerbangan sehingga tamat sesebuah penerbangan pada saat enjin pesawat dimatikan selepas mendarat dan diparkir di lapangan terbang.
Oleh itu, di dalam sesuatu nahas pesawat terhempas, penemuan kotak hitam ini amat perlu kerana data yang diperoleh daripada rakaman akan membantu keseluruhan siasatan dan mengenalpasti punca sesebuah kemalangan itu berlaku.
FDR dan CVR akan mula merakamkan data penerbangan bermula apabila enjin pesawat dihidupkan, pemeriksaan senarai langkah untuk berlepas (take-off checklist) dan juga apabila pesawat sudah mula bergerak (taxi), berlepas dan mendarat.
Jika kemalangan berlaku, keutamaan pertama ialah untuk mencari bangkai pesawat dan seterusnya mencari kotak hitam pesawat berkenaan.
FDR dan CVR direka berwarna jingga supaya ia mudah dikesan jika pesawat terbakar, terbenam di dasar laut dan juga jika ia terselindung di dalam hutan atau salji.
Pihak penyiasat akan mendengar dan meneliti setiap data di dalam alat berkenaan supaya mereka boleh mereka semula pergerakan pesawat menggunakan lakaran grafik dari permulaan pesawat berlepas sehingga nahas berlaku.
Dalam kes pesawat Air France yang dalam penerbangan dari Rio De Jeneiro, Brazil ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris pada 1 Jun 2009, kotak hitam atau FDR/CVR hanya dapat dikesan selepas dua tahun nahas itu berlaku kerana lokasi pesawat berkenaan ialah di dasar lautan yang sangat dalam.
Kejadian itu melibatkan pesawat jenis Airbus A330-203 yang terhempas di Lautan Atlantik membunuh kesemua 216 penumpang dan 12 anak kapal.
Kerana itulah, keutamaan pasukan mencari pesawat MH370 pada ketika ini ialah untuk mengenalpasti lokasi pesawat berkenaan sebelum mencari kotak hitam berkenaan bagi memulakan siasatan mencari punca kejadian. – MYNEWSHUB.MY
Oleh : IBNU KHUSAIRY ARIS


No comments:

Post a Comment

Designed By Seo Blogger Templates