Tuesday 25 March 2014

MH370: Hanya Kotak Hitam Dapat Selesaikan Misteri MH370

KUALA LUMPUR — Nasib penerbangan MH370 milik
Malaysia Airlines sejak 16 hari lepas, terjawab malam tadi menerusi pengumuman
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penerbangan itu berakhir di
selatan Lautan Hindi.
Berdasarkan rumusan itu hanya kotak hitam pesawat Boeing 777-200ER berkenaan
yang dapat menjawab misteri kehilangannya sejak awal pagi 8 Mac lepas.
Perdana Menteri pada Isnin malam berkata berdasarkan taklimat Cawangan
Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan analisis lanjut data oleh
Inmarsat, kesimpulan dibuat bahawa MH370 terbang di koridor selatan dan
kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth.
“Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh dari sebarang tempat
pendaratan. Oleh itu dengan perasaan amat sedih dan terharu saya ingin
memaklumkan bahawa menurut data terkini, penerbangan MH370 berakhir di selatan
Lautan Hindi,” kata Najib
Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam penerbangan
ke Beijing apabila dilapor hilang daripada radar kira-kira 1.30 pagi 8 Mac,
setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Sejak hari pertama kehilangannya, lebih 12 negara membantu Malaysia dalam
misi mencari dan menyelamat pesawat tersebut.
Pada Isnin, pesawat Australia dan China masing-masing mengesan beberapa
objek yang terapung di selatan Lautan Hindi, namun belum diambil.
Pihak berkuasa Malaysia akan mengadakan sidang media esok untuk menjelaskan
butiran lanjut mengenai perkembangan terbaharu itu.
– BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Designed By Seo Blogger Templates