Thursday 13 March 2014

MH370: KPN enggan ulas tentang pasport curi


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar enggan mengulas tentang versi bercanggah pasport curi yang digunakan dua rakyat Iran untuk menaiki penerbangan MH370.
“Elok saya jangan bercakap. Tanyalah pada Interpol, tanyalah pada (Jabatan) Imigresan, janganlah tanya pada saya,” katanya sewaktu ditanya wartawan tentang perkara itu selepas Malam Anugerah Sukan PDRM 2013, di Cheras malam tadi.
“Saya rasa hari ini saya tak mahu cakap apa-apa juga tentang perkembangan siasatan ini,” katanya sambil memberi jaminan beliau akan memberi taklimat tentang perkara itu dalam masa terdekat nanti.
Jabatan Imigresen dan Interpol didapati mengeluarkan kenyataan yang bercanggah mengenai pasport curi yang digunakan oleh dua rakyat Iran untuk menaiki penerbangan MH370.
Bercanggah dengan versi Interpol, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat berkata pasangan itu masuk ke Malaysia, masing-masing menggunakan pasport Itali dan Austria.
Aloyah berkata, Pouria Nourmohammadi, 19, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Februari pada jam 8.28 malam dan mengemukakan pasport Austria.
Rakyat Iran kedua, Delavar Seyed mohammaderza, 29, tiba di KLIA pada 7 Mac jam 10.43 malam dengan pasport Itali.
Aloyah berkata kedua-dua lelaki itu dibenarkan masuk ke Malaysia berdasarkan tatacara operasi standard (SOP) oleh pegawai imigresen yang tidak mengesyaki apa-apa yang tidak kena.
Bagaimanapun, versi Interpol pula, seperti yang dilaporkan oleh Reuters berkata kedua-duanya datang dari Doha ke Kuala Lumpur menggunakan pasport Iran, lapor Malaysiakini.


No comments:

Post a Comment

Designed By Seo Blogger Templates